Jentera penyudah TFC kembali berbisa

Adisak (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang Kelantan FC pada saingan Derbi Pantai Timur Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto Bernama
Adisak (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang Kelantan FC pada saingan Derbi Pantai Timur Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto Bernama
A
A
A

KEMARAU gol Terengganu FC (TFC) berakhir apabila jentera serangan skuad Penyu kembali menemui sentuhan berbisa setelah membelasah Kelantan FC, 5-0 pada aksi Derbi Pantai Timur Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

Malah pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner mengakui lega selepas jentera serangannya kembali menemui sentuhan gol selepas tampil dengan prestasi kurang menyerlah dalam perlawanan berintensiti tinggi sebelum ini.

Kemenangan besar awal musim itu juga tegas Steinbrucker penting bagi menebus kekecewaan penyokong skuad Penyu berikutan prestasi yang kurang menyerlah dalam beberapa perlawanan musim ini.

"Sebelum ini skuad Penyu dibelenggu ketumpulan penyudah sehingga menyaksikan deretan peluang gagal diterjemahkan dalam bentuk gol.

"Kali ini saya sangat gembira apabila ketiga-tiga penyerang, semuanya menjaringkan gol. Perlawanan sebelum ini, kami juga mencipta begitu banyak peluang dan semua orang bermain dengan baik, namun sukar untuk menjaringkan gol.

"Ya, saya benar-benar berpuas hati dengan keputusan itu dan melihat dengan optimis untuk perlawanan seterusnya menentang Kuching City FC," katanya selepas perlawanan pada Selasa.

Gol skuad Penyu dijaringkan Jordan Mintah minit ke-16, Adisak Kraisorn (m-61), Ivan Mamut (penalti m-67, m-91) dan Hakimi Abdullah (m-63).

Tiga mata itu menyaksikan TFC naik ke tangga keenam Liga Super dengan 10 mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.

Sementara itu, bagi pengendali sementara Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berkata, kekalahan perlawanan derbi tetangga itu merupakan cabaran kepada pemain The Red Warriors (TRW) untuk memperbaiki pelbagai kelemahan pasukan.

Malah tegasnya, kekalahan besar itu bukan penamat buat TRW melakukan perubahan dalam meningkatkan kembali prestasi jagoan pantai timur berkenaan.

"Pemain Kelantan perlu bekerja keras kerana pasukan kini bermain pada saingan Liga Super yang corak permainan serta kualiti pemainnya jauh berbeza berbanding sebelum ini," katanya yang memangku jawatan pengendali selepas Choi Moon-sik direhatkan sebelum perlawanan itu.