Pembinaan kabel dasar laut swasta, tidak libat dana kerajaan

Nie Ching
Nie Ching
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembinaan kabel dasar laut di negara ini kebanyakannya tidak melibatkan dana kerajaan, sebaliknya dilakukan oleh pihak swasta menggunakan dana sendiri.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, syarikat yang terlibat melihat pembinaan kabel dasar laut berkenaan mempunyai nilai komersial dan atas dasar itu mereka sanggup membinanya tanpa bergantung kepada dana kerajaan.

"Untuk kabel laut sedia ada termasuk yang asas ataupun sistem kabel East-West dari Mersing ke titik terminasi di Kuching oleh Sacofa Sdn. Bhd ... itu semua dana mereka sendiri.

"Kecuali daripada TM (Telekom Malaysia Berhad) yang menggunakan dana TM sendiri dan sedikit dana daripada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) menerusi USP (Pemberian Perkhidmatan Sejagat),” katanya.

Teo berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Senator Apandi Mohamad berkenaan jumlah kos dikeluarkan kerajaan dalam pemasangan sistem kabel dasar laut, pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara pada Rabu.

Beliau berkata, dana kerajaan pula digunakan untuk menjaga kawasan pedalaman yang tidak mempunyai nilai komersial dan tiada syarikat telco yang berminat untuk melabur membina menara baharu.

"Untuk itu kita guna dana kerajaan daripada USP untuk membina menara baharu di kawasan itu bagi pastikan seluruh Malaysia boleh dijaga,” katanya. - Bernama