Tawaran lumayan Al Hilal buat Messi

Messi - Foto AFP
Messi - Foto AFP
A
A
A

KELAB Arab Saudi, Al Hilal dilaporkan sedia membuat tawaran lebih besar buat bintang sensasi, Lionel Messi sebanyak 400 juta euro (RM1.93 bilion) setahun.

Tawaran itu jauh lebih tinggi berbanding kontrak Cristiano Ronaldo bersama kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr.

Menurut wartawan Itali, Fabrizio Romano, kelab itu berharap dapat menandatangani Messi yang memacu Argentina merangkul Piala Dunia selepas kontraknya di Paris Saint-Germain berakhir musim panas ini.

Bagaimanapun, dia merasakan pemain berusia 35 itu akan memilih untuk kekal bersaing dalam liga Eropah.

"Difahamkan Al Hilal membuat tawaran secara rasmi kepada Leo Messi. Gaji yang ditawarkan lebih 400 juta euro setahun.

"Bagaimanapun keutamaan Leo mahu terus beraksi di Eropah.

"Barcelona menunggu FFP (Financial Fair Play) untuk menghantar bidaan dan memulakan rundingan (dengan Messi)," kata Romano.

Messi dilaporkan mahu meninggalkan PSG, malah dicemuh penyokong sendiri ketika aksi menentang Lyon.

Kapten Argentina itu difahamkan turut dikaitkan dengan perpindahan ke Major League Soccer di Amerika Syarikat bersama Inter Miami.