World #QuranHour 1444H bukti umat Islam bersatu, tidak lemah

Dr Mohaemed Fairooz Mohamed Fathillah
Dr Mohaemed Fairooz Mohamed Fathillah
A
A
A

SHAH ALAM - Program World #QuranHour 1444H adalah bukti umat Islam semakin bersatu hati dalam usaha menyebarkan kalam ALLAH walaupun ada pihak yang cuba mencetuskan provokasi dengan membakar al- Quran.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teras, Universiti Islam Selangor (UIS), Dr Mohaemed Fairooz Mohamed Fathillah berkata, segala gelombang permusuhan yang diterapkan tidak akan melemahkan pertautan antara masyarakat Islam dan al-Quran.

Katanya, semakin kuat mereka cipta permusuhan, lagi banyak ayat-ayat suci disebarkan di seluruh dunia.

"Dalam suasana sekarang, di negara barat seperti Sweeden terdapat individu yang bertindak membakar kitab suci al-Quran namun, mudah-mudahan dengan adanya World #QuranHour kita dapat tepis segala sifat permusuhan mereka.

"Al-Quran sumber kekuatan umat Islam. Ia adalah mukjizat ditinggalkan oleh baginda nabi yang tidak boleh dipertikaikan," ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Tambah Mohaemed Fairooz, kitab suci itu juga berperanan menyatukan semua orang tanpa mengira perbezaan pendapat, bangsa dan warna kulit.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua umat Islam tidak kira kaum atau peringkat umur untuk sama-sama meluang masa bagi mengikuti World #QuranHour pada 13 April 2023," ujarnya.

Asmak Husin
Asmak Husin

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Persatuan Ulamak Malaysia, Asmak Husin berpendapat, program tersebut mampu menarik golongan bukan Islam untuk mengenali al-Quran.

Beliau memberitahu, golongan bukan Islam biasanya menganggap kalam ALLAH itu seni dan yang sangat teruja untuk mendengarnya.

"Saya ada kawan dan bekas pelajar yang tertarik untuk mendalami al-Quran lebih-lebih lagi apabila mengetahui maksudnya. Jadi, saya rasa ini adalah platform terbaik untuk mereka mendengar bacaan al-Quran di televisyen atau media sosial.

"Jadi, pada 13 April ini semua umat Islam terutamanya golongan ibu bapa dapat mengajak anak-anak menyertai World #QuranHour. Didikan agar mencintai al-Quran adalah bermula dari rumah," katanya.