Terkejut jumpa bayi depan masjid

Mohd Iqram menunjukkan tempat mereka menemukan bayi perempuan ditinggalkan di hadapan pintu pagar Masjid An-Nur Taman Cendana, Pasir Gudang.
Mohd Iqram menunjukkan tempat mereka menemukan bayi perempuan ditinggalkan di hadapan pintu pagar Masjid An-Nur Taman Cendana, Pasir Gudang.
A
A
A

PASIR GUDANG - Empat remaja terkejut apabila menemukan seorang bayi perempuan dalam beg plastik diletakkan di hadapan Masjid An-Nur Taman Cendana di sini pada Sabtu.

Mohd Iqram Haqeem Abdullah, 14, berkata, pada mulanya dia bersama tiga rakannya terdengar bunyi pelik dari beg plasik berkenaan namun tidak menyangka terdapat seorang bayi di dalamnya.

Menurutnya, kejadian pada jam 4 pagi itu berlaku ketika dia bersama tiga rakan sekolah yang juga jiran dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bersahur di sebuah restoran berhampiran.

"Kami yang mahu singgah di masjid untuk ke tandas terkejut mendengar bunyi misteri di tepi pagar masjid serta bertindak menahan sebuah van kilang bagi mendapatkan bantuan.

"Pemandu van kemudian memeriksa beg dan mendapati seorang bayi perempuan berbalut tuala berwarna kuning.

"Pemandu van bertindak menghubungi talian kecemasan sebelum menyerahkan bayi kepada seorang petugas di masjid.

"Kami bersyukur kerana tidak meninggalkan bayi itu walaupun pada awalnya bimbang mendengar bunyi misteri itu," katanya ketika ditemui.

Dia berkata, selepas pulang ke rumah mereka berkongsi pengalaman berkenaan dengan ahli keluarga dan mereka bertindak memuji tindakan kami menyelamatkan bayi terutama pada Ramadan ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku kali pertama dalam sejarah kewujudan kawasan perumahan itu kira-kira 20 tahun.

Katanya, kemungkinan mereka yang meninggalkan bayi berkenaan beranggapan kawasan itu adalah tempat kunjungan kariah masjid yang mungkin dapat menyelamatkan bayi terbabit.

"Bayi itu bernasib baik kerana diselamatkan sekumpulan pelajar sekolah, jika dia terus berada di situ mungkin berlaku kejadian tidak diingini berikutan lokasi itu kawasan anjing liar berkeliaran.

"Bayi itu istimewa, kami anggap sebagai anak angkat sukarelawan dan komuniti kawasan perumahan ini, kami juga tidak sabar bagi mengetahui perkembangannya serta mendoakannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, bayi itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Beliau berkata, keadaan bayi sihat dan normal serta kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, bayi itu dipercayai berusia tiga hari ketika ditemui.

"Perintah Jagaan Sementara di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Johor Bahru akan dipohon bagi membolehkan pelindung kanak-kanak menguruskan dokumen berkaitan pengenalan diri kanak-kanak," katanya.