Perak harap keajaiban berdepan JDT di Ipoh

Perak FC bakal berdepan tugas sukar apabila menanti kunjungan JDT di Stadium Perak pada Selasa.
Perak FC bakal berdepan tugas sukar apabila menanti kunjungan JDT di Stadium Perak pada Selasa.
A
A
A

PERAK FC mungkin sudah boleh menjangkakan aksi sukar ketika melayani kunjungan juara sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada Selasa.

Bersandarkan rekod cemerlang JDT dalam enam aksi terdahulu termasuk ketika membenam beberapa pencabar terkuat mereka, skuad The Bos Gaurus pastinya sedar dengan ancaman yang bakal dihadapi di hadapan penyokong sendiri.

Dengan rekod 25 gol dan hanya bolos satu jaringan setakat ini, Perak FC harus lebih berwaspada dengan jentera serangan skuad Harimau Selatan itu yang tampak cukup mengganas setakat ini.

Ironinya, Perak yang mendapat sentuhan Datuk Lim Teong Kim musim ini tampak masih jauh di belakang JDT apabila sekadar merekodkan empat gol dan bolos 10 kali dalam enam perlawanan lalu.

Malah, JDT terus gah mendahului carta Liga Super hasil kutipan 18 mata maksimum, manakala Perak sekadar menduduki tangga ke-10 dengan merekodkan lima mata.

“Kita tahu kekuatan JDT dan kita ambil (berdepan) perlawanan ini seperti lawan pasukan biasa yang lain. Kemungkinan (Perak FC) dapat mata juga ada.

“Tak mustahil dan ini semua terpulang kepada pemain-pemain. Tetapi kalau nak menang, kena ada keajaibanlah,” kata Teong Kim pada Isnin.

Pada masa sama, Teong Kim mengakui beliau berdepan tekanan ekoran prestasi tidak menentu skuad kendaliannya dalam saingan Liga Super setakat ini.

“Tekanan itu sentiasa ada sebagai jurulatih mana-mana pasukan, bukan sahaja di Perak FC. Ia biasa dan menjadi tugas sebagai jurulatih.

“Jika tak nak tekanan, baik saya jual pisang goreng tetapi itu pun ada tekanan juga,” seloroh bekas skuad remaja kelab gergasi Jerman, Bayern Munich itu.

Sementara itu, penjaga gol Perak, Bryan See berkata, persediaan rapi sudah dilakukan bagi menghadapi Harimau Selatan, selain dia mahu mengelak gawangnya daripada dibolosi.

“Ini bukan tahun pertama saya lawan JDT. Setiap perlawanan pun ada tekanan sendiri. Memang JDT ialah pasukan terkuat abad ini tetapi kita kena bersedia,” jelasnya.