'Kami mahu beli baju raya'

Mohd Shahmi (tiga dari kiri) bersama pelajar tahfiz yang menerima sumbangan daripada Kelab Ducati Kelantan. (Gambar kecil: Syaza Alisha dan Mohd Irsyad Isqandar)
Mohd Shahmi (tiga dari kiri) bersama pelajar tahfiz yang menerima sumbangan daripada Kelab Ducati Kelantan. (Gambar kecil: Syaza Alisha dan Mohd Irsyad Isqandar)
A
A
A

KOTA BHARU - "Saya mahu beli baju raya," kata murid Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 2, Mohd Irsyad Isqandar Mohd Hanafiah, 12, yang menerima sumbangan sempena Majlis Berbuka Puasa Kelab Ducati Kelantan di sini.

Anak sulung daripada tiga beradik itu memberitahu belum membeli baju baharu dan akan mengajak bapanya untuk memilih pakaian raya.

"Biasanya ayah akan membelikan kami dua pasang baju seorang untuk hari raya," katanya ketika ditemui ketika majlis itu pada Isnin.

Menurut Mohd Irsyad Isqandar, suasana berbuka puasa juga meriah dan merupakan pengalaman pertama kalinya berada di restoran Ramadan tahun ini.

Rakannya, Syaza Alisha Nik Mohammad Irwan, 10, pula teruja untuk membeli pakaian baharu dengan wang sumbangan yang diterimanya.

Anak kepada pasangan tukang sapu dan peniaga kecil-kecilan itu berkata, dia belum membeli pakaian raya dan tidak sabar memilih baju baharu.

Katanya, sejak dimaklumkan guru, dia tidak sabar untuk datang berbuka puasa bersama pemilik motosikal mewah.

"Sepanjang berpuasa, saya hanya berbuka di rumah bersama keluarga tetapi kali ini meriah selain teruja melihat banyak motosikal berkuasa tinggi," katanya.

Mohd Irsyad Isqandar dan Syaza Alisha merupakan antara 100 kanak-kanak dan pelajar tahfiz yang diraikan pada majlis berbuka puasa Kelab Ducati Kelantan di sebuah restoran di sini pada Isnin.

Mereka menerima duit raya RM50 dan beg cenderamata setiap seorang sekali gus dapat menceriakan suasana Syawal yang bakal menjelang.

Presiden Kelab Ducati Kelantan, Mohd Shahmi Abdullah berkata, program kali ini memperuntukkan lebih RM9,000 bagi menceriakan kanak-kanak yang memerlukan di sekitar Kota Bharu.

Menurut beliau, acara yang menjadi tradisi sejak 11 tahun lalu itu disertai seramai 120 ahli Ducati seluruh negeri.

"Kami berharap sumbangan kecil ini dapat membantu menceriakan Hari Raya Aidilfitri kanak-kanak yang diraikan selain meneruskan hubungan erat antara ahli," katanya.

Mohd Shahmi memberitahu, justeru tahun ini mereka menjemput paling ramai kanak-kanak asnaf dan miskin untuk menerima sumbangan.