Lakukan transformasi pembiayaan kesihatan menyeluruh

Profesor Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman
Profesor Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu melakukan transformasi pembiayaan secara menyeluruh bagi memastikan sistem kesihatan negara berkualiti dan seterusnya dapat memenuhi hak asasi rakyat.

Menurut laporan Astro Awani, Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Profesor Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang ditubuhkan juga perlu melihat kepada isu penghijrahan doktor pakar dari perkhidmatan awam selain hanya tertumpu kepada isu doktor semata-mata.

"Jawatankuasa yang melibatkan semua agensi termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Kementerian Kesihatan (KKM) penting bagi mencari penyelesaian secara holistik untuk jangka masa pendek.

"Saya harap jawatankuasa ini tidak hanya tertumpu pada doktor-doktor kontrak sahaja tetapi juga melihat pada isu perletakan jawatan pakar perubatan dari perkhidmatan awam.

"Ingin saya tegaskan untuk jangka masa panjang, kerajaan wajib menangani punca utama bagi permasalahan ini iaitu sistem kesihatan dan sistem pembiayaan kesihatan yang tidak mampan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Lokman Hakim mendedahkan, kerajaan sudah tidak mampu menambah bajet Kementerian Kesihatan tanpa menjejaskan bajet kementerian-kementerian lain.

"Oleh itu saya berharap transformasi menyeluruh dan keputusan dasar ini perlu dibuat oleh kerajaan dan wajib disokong pembangkang serta seluruh rakyat Malaysia," ujarnya.

Sabtu lalu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan jemaah menteri bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang menjadi topik hangat dalam negara ketika ini.

Kumpulan dikenali Mogok Doktor Malaysia sebelum ini berkata, lebih 8,000 doktor kontrak akan melakukan mogok antara 3 hingga 5 April dengan mengambil cuti perubatan atau kecemasan sebagai protes terhadap sistem tidak adil dan gaji rendah dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

Kumpulan itu juga memberi amaran terdapat 3,000 doktor kontrak akan meletak jawatan daripada Kementerian Kesihatan pada 1 April.

Selain penyerapan semua doktor kontrak ke jawatan tetap tanpa sebarang syarat atau temuduga, kumpulan itu mendesak kenaikan gaji pokok dan kadar 'on-call' untuk pakar perubatan dan pegawai perubatan.

Mereka turut meminta KKM menyelesaikan isu kekurangan pakar, pegawai perubatan dan pegawai perubatan siswazah dengan segera.