Jakov Milagtovic menang pemilihan presiden Montenegro

Milatovic - Foto EPA
Milatovic - Foto EPA
A
A
A

BELGRADE (Serbia) - Bekas menteri pembangunan ekonomi Montenegro, Jakov Milatovic memenangi pemilihan presiden pada Ahad selepas memperoleh 58.9 peratus undian, lapor Agensi Anadolu memetik keputusan awal.

Milatovi, 36, menewaskan penyandang jawatan Presiden Milo Djukanovic yang sekadar memperoleh 41.1 peratus undi.

Beliau yang merupakan ahli kumpulan Europe Now yang baru ditubuhkan, berikrar untuk meningkatkan taraf hidup, mengukuhkan hubungan dengan Kesatuan Eropah dan memulihkan hubungan dengan Serbia.

Dalam ucapan kemenangannya, beliau berkata, Montenegro akan mengambil langkah tegas dan meninggalkan zaman rejim Milo Djukanovic.

"... selamat tinggal kepada jenayah, rasuah dan kaitan jenayah itu dengan politik dan mengalu-alukan Montenegro yang berjaya," katanya.

Milatovic menceburi arena politik sejak dua tahun lepas sebagai menteri ekonomi dalam kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Zdravko Krivokapic.

Pelaksanaan pembaharuan cukai menjadikan beliau sangat popular dalam kalangan rakyat selain menaikkan gaji minimum dua kali ganda.

Milatovic berkata, beliau menyertai politik kerana ketidakadilan yang berlaku ke atas keluarganya ketika rejim Djukannovic.

Para penyokong memenuhi jalan-jalan di Podgorica untuk meraikan kemenangan itu.

Menurut suruhanjaya pilihan raya, seramai 375,853 daripada 542,000 rakyat yang layak mengundi mengambil bahagian dalam pemilihan kali ini dengan peratusan keluar mengundi meningkat daripada 62.7 peratus pada pusingan pertama kepada 70.4 peratus.

Pilihan raya parlimen di negara Balkan itu akan diadakan pada 11 Jun. - Bernama-Anadolu