Malaysia kecam tindakan bakar al-Quran di Denmark

Malaysia menggesa kerajaan Denmark mengambil tindakan serius terhadap pelaku dan tidak menganggap tindakan keji itu sebagai kebebasan bersuara.
Malaysia menggesa kerajaan Denmark mengambil tindakan serius terhadap pelaku dan tidak menganggap tindakan keji itu sebagai kebebasan bersuara.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya perbuatan keji membakar al-Quran di Denmark pada 24 dan 31 Mac.

Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Isnin, perbuatan keji itu bukan kali pertama dilakukan di Denmark pada tahun ini.

Di sebalik bantahan dan kecaman yang disuarakan oleh umat Islam di seluruh dunia, kerajaan Denmark dilihat masih enggan menghentikan perbuatan yang sama sekali tidak boleh diterima itu.

"Perbuatan Islamofobia yang dilakukan pada Ramadan ketika umat Islam dituntut untuk bersabar itu disifatkan bertujuan menyebarkan kebencian dan hasutan untuk keganasan,” menurut kenyataan itu.

Malaysia menggesa kerajaan Denmark mengambil tindakan serius terhadap pelaku dan tidak menganggap tindakan keji itu sebagai kebebasan bersuara.

Selain itu, Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk berusaha sebaik mungkin bagi memastikan kitab suci agama dihormati dan dilindungi sepenuhnya sambil mengambil tindakan yang signifikan untuk memerangi Islamofobia dan menggalakkan kehidupan yang harmoni, aman serta damai dalam kalangan rakyat yang berbeza agama selaras dengan Hak Asasi Manusia.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini terdapat tokoh atau kumpulan Islamofobia di utara Eropah dan negara-negara Nordik, terutamanya di Denmark dan Sweden yang bertindak membakar al-Quran atau merancang untuk melakukannya. - Bernama