Lelaki pekak, bisu cederakan bekas majikan tak bayar hutang

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki bisu dan pekak bagi membantu siasatan kes bekas majikannya yang ditemukan berlumuran darah di Jalan Pertanian 26, Taman Universiti, Skudai di sini pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada orang awam pada jam 10.56 malam.

"Mangsa yang berusia 45 tahun itu bekerja sebagai pemandu lori dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini kerana mengalami kecederaan di bahagian tangan, muka dan telinga dipercayai terkena objek tajam.

"Hasil tindakan pantas polis pada jam 12.15 tengah malam tadi berjaya menahan suspek yang merupakan warga tempatan berusia 26 tahun di rumahnya di Taman Universiti," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pakaian digunakan suspek yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu semasa kejadian turut dirampas.

Jelasnya, semakan lampau mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan tiga kes jenayah dan satu kes dadah.

"Motif kejadian kerana mangsa dikatakan tidak membayar gaji semasa suspek bekerja dengannya sebagai kelindan lori," ujar beliau.

Suspek katanya, direman selam tiga hari bermula Sabtu dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.