Tunggakan cukai: MPS keluar waran tahanan

Adi Faizal Ahmad Tarmizi (kiri).
Adi Faizal Ahmad Tarmizi (kiri).
A
A
A

SELAYANG - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengeluarkan waran tahanan beserta caj RM100 kepada pemilik harta yang masih gagal membayar tunggakan cukai taksiran mulai Sabtu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, waran tahanan itu dikeluarkan bagi membolehkan harta pemilik terlibat disita selepas tujuh hari daripada tarikh waran diserahkan.

Jelasnya, sebelum ini MPS telah mengeluarkan notis (Borang E) dengan caj tambahan RM20 kepada pemilik harta gagal membayar tunggakan cukai taksiran mengikut tempoh ditetapkan pada 28 Februari lalu.

“Penerima notis (Borang E) ini diberi masa sebulan atau sehingga 31 Mac untuk melunaskan bayaran.

"Jika masih gagal membayar tindakan waran tahanan akan dikenakan mulai 1 April,” katanya dalam ucapan sempena Mesyuarat MPS Bilangan 3/2023 di sini.

Pada 28 September tahun lalu, MPS dilaporkan menyita harta 2,651 pemilik gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran dalam tempoh tujuh hari selepas serahan waran tahanan.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan pemilik yang mempunyai tunggakan mesti membuat bayaran penuh jika mahu waran tahanan dibatalkan.