Ahmad Zahid imbas kenangan menuntut di Sekolah Izzudin Shah

Ahmad Zahid bersalaman bersama para tetamu ketika hadir pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Perak 2023 di Sekolah Izzudin Shah pada Jumaat. - Foto: Bernama
Ahmad Zahid bersalaman bersama para tetamu ketika hadir pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Perak 2023 di Sekolah Izzudin Shah pada Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat mengimbau pengalamannya ketika menuntut di Tingkatan Lima di Sekolah Izzudin Shah, di sini pada 1970.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu dalam ucapan pada Majlis Santunan Kasih Ramadan yang berlangsung di sekolah itu berkata, ketika menuntut, beliau diajar oleh guru yang hanya berkelulusan lepasan Tingkatan Lima dan belajar dalam suasana serba kekurangan.

"Tetapi guru tetap guru, kerana kami menghormati guru, sekolah ini melahirkan ramai tokoh yang mengharumkan nama negara," katanya.

Ahmad Zahid berkata, antara tokoh yang dilahirkan oleh Sekolah Izzudin Shah ialah ahli akademik, penyelidik dan penulis Prof Bukhari Lubis dan bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Allahyarham Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil yang juga bapa kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Ahnad Zahid yang kemudian meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk menaik taraf Sekolah Izzudin Shah mahu sekolah itu setaraf dengan sekolah agama terkenal yang lain.

"Ketahuilah saya ialah produk sekolah ini, jika ada apa-apa kekurangan, dengan keterbatasan saya akan cuba memberikan yang mampu bagi memastikan sekolah ini juga sehebat sekolah yang lain," katanya.

Sekolah Izzudin Shah merupakan lokasi ketujuh dari 13 negeri bagi Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang bermula pada 24 Mac dengan lokasi pertama di Masjid Batu 8, Gombak, Selangor.

Majlis itu dihadiri hampir 1,500 orang terdiri daripada anak yatim, pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat.

Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan duit raya dan bakul makanan kepada 140 anak yatim dan tahfiz.- Bernama