Petanda positif kuartet negara menjelang Sukan SEA

Kuartet negara meraih pingat emas acara 4 x 100m kejohanan Olahraga Terbuka Australia di Brisbane pada Khamis. - Foto Mohd Poad Kassim
Kuartet negara meraih pingat emas acara 4 x 100m kejohanan Olahraga Terbuka Australia di Brisbane pada Khamis. - Foto Mohd Poad Kassim
A
A
A

KUARTET lelaki negara meneruskan momentum positif apabila mengungguli acara 4 x 100 meter (m) kejohanan Olahraga Terbuka Australia di Brisbane pada Khamis.

Gandingan mantap Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa dan Muhammad Zulfiqar Ismail berjaya melepasi garisan penamat dengan catatan 39.96 saat (s).

Mereka meninggalkan kuartet Singapura, Quek Jun Jie Calvin, Ho Xander Ann Heng, Joshua Chua Hanwei dan Lee Mark Ren di tempat kedua menerusi catatan 40.28s.

Kuartet Victoria, Australia yang terdiri daripada Jacob Sesar, Corey Baker, Brayden Portelli dan Michael Hansford pula terpaksa berpuas hati dengan catatan 41.66s untuk berada di kedudukan ketiga.

Kejayaan itu ternyata membarakan lagi semangat anak-anak buah Mohd Poad Kassim untuk memburu kilauan emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja bulan depan.

Biarpun mengakui gembira dengan pencapaian itu kerana mereka kali pertama digandingkan untuk kejohanan tersebut, Mohd Poad berkata, masih ada ruang serta peluang untuk ditingkatkan.

“Saya berpuas hati, namun masih banyak yang perlu dibaiki. Mereka baru sahaja dibentuk dan ini kejohanan pertama,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Sebelum ini, barisan pelari negara itu mencipta sensasi apabila menyapu bersih pingat acara 100m Kejohanan Siri Shield: Darren Thrupp Shield di Queensland pada 18 Mac lalu.

Dalam acara itu, Khairul Hafiz meraih emas dengan catatan masa 10.34s sekali gus melakar catatan masa terbaik peribadinya musim ini.

Muhammad Haiqal pula meraih tempat kedua (10.41s) diikuti Jonathan (10.43s) dan Muhammad Zulfiqar (10.48s) masing-masing meraih tempat ketiga dan keempat.

“Menerusi kejayaan ini diharapkan kita dapat memberi saingan yang kuat kepada Thailand nanti (Sukan SEA Kemboja),” ujar Mohd Poad.

Sebagai rekod, pada Sukan SEA Hanoi tahun lalu, kuartet Malaysia yang ketika itu dibarisi Haiqal, Muhammad Azeem Fahmi, Zulfiqar dan Arsyad Md Saat meraih pingat perak acara 4x100m.

Mereka melakukan catatan masa 39.09s, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan iaitu 39.27s yang dilakukan pada temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.