Isu dewan MAEPS: Kelulusan, kadar sewa telah dipersetujui

Poster majlis berbuka puasa 'MB Kedah bersama anak Kedah di perantauan' di MAEPS.
Poster majlis berbuka puasa 'MB Kedah bersama anak Kedah di perantauan' di MAEPS.
A
A
A

ALOR SETAR - Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohd Hilmi Abd Wahab kecewa susulan sewaan dewan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dibatalkan.

Menurutnya, penyewaan dewan itu bagi menganjurkan majlis berbuka puasa 'MB Kedah bersama anak Kedah di perantauan' yang dijadualkan diadakan pada 9 April ini,

"Dalam pertemuan pada 23 Mac lalu, saya bersama pasukannya telah meninjau dan mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak termasuk pengurusan dewan MAEPS.

“Bagi pihak kerajaan negeri Kedah selaku penganjur majlis berkenaan, jawatankuasa program yang saya ketuai turut melantik sebuah syarikat katering untuk menyedia makanan dan menyewa Dewan A MAEPS," katanya.

Mohd Hilmi berkata, dalam perbincangan tersebut penganjur bersetuju dengan kadar sewa dan kos sajian makanan sebanyak RM70,000.

Bagaimanapun katanya, pada Rabu, pihahnya menerima WhatsApp daripada pihak katering mengatakan premis tersebut tidak dibenarkan disewa untuk majlis itu.

“Alasan yang diberikan kerana gambar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ada dalam poster majlis selain beliau dijadualkan hadir majlis tersebut,” jelasnya.

Mohamad dalam kenyataan di Facebook miliknya pada Khamis hairan dengan dakwaan Muhammad Sanusi bahawa majlis berbuka puasa di MAEPS Serdang, Selangor dibatalkan sedangkan tempahan dewan belum diluluskan.

"Pelik juga saya bila Menteri Besar Kedah kata kelulusan sewaan dewan ditarik balik oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedangkan pengurusan dewan MAEPS belum keluarkan apa-apa surat setuju terima. Sebut harga pun belum keluar," katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) turut hairan dengan tindakan Muhammad Sanusi yang menyebarkan poster program sebelum lokasi penganjuran diberikan kelulusan.

Beliau turut memaklumkan penganjuran program Anak Terengganu di MAEPS tiada masalah dan akan berlangsung seperti dijadualkan.

“Oleh kerana Menteri Besar Kedah dah kata program Anak Kedah akan dibuat di tempat lain, maka kami anggap tak jadi. Jika tidak pasti, tolong jangan kongsi,” kata Mohamad lagi.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa kelulusan menggunakan Dewan A MAEPS di bawah KPKM bagi mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak Kedah di perantauan pada 9 April ditarik balik.