Terlalu awal kaitkan tragedi 4 beradik maut dengan kecuaian

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

MUAR - Terlalu awal untuk membuat kesimpulan tragedi menyebabkan empat kanak-kanak terkorban dalam kebakaran rumah di Kampung Sabak Awor, Muar, Rabu membabitkan elemen kecuaian.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail berkata, biar pihak berkaitan termasuk polis melakukan siasatan penuh terlebih dahulu.

"Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada ia membabitkan elemen kecuaian sehingga perlukan pendakwaan dibuat.

"Biarlah Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesaikan siasatan sepenuhnya. Apabila laporan penuh sudah siap, ia sudah pasti akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat tindakan sewajarnya," katanya selepas menziarahi ibu bapa empat kanak-kanak yang maut dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, di sini pada Khamis.

Uajr beliau, ibu bapa atau penjaga yang didapati cuai sehingga anak atau jagaan mereka mendapat kecederaan fizikal, emosi apatah lagi maut, boleh didakwa mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

"Oleh itu, kerajaan Johor menasihatkan ibu bapa serta penjaga sentiasa berwaspada dalam memastikan keselamatan dan kebajikan anak-anak mereka sentiasa terbela setiap masa," katanya.

Mengikut seksyen itu, mana-mana individu, ibu bapa, atau penjaga yang didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Kejadian pada Rabu itu mengorbankan empat beradik berusia lapan hingga tiga tahun terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.

Mangsa adalah Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3, dalam tragedi pada jam 7.49 malam itu.

Dalam pada itu, Khairin Nisa berkata, pasangan suami isteri berkenaan, Thein Ko Htut, 30, dan Nabila Sedu, 31, dipantau sepenuhnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bagi memastikan kesihatan mereka termasuk keadaan mental tidak terganggu berikutan tragedi itu.

"Selain bantuan membabitkan makanan, minuman dan keperluan harian, JKM juga akan beri bantuan kaunseling bagi memastikan mereka tidak menghadapi tekanan yang berlebihan," katanya.