Akauntan mahu pinjam RM20,000 tapi rugi lebih RM48,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Gara-gara ingin mendapatkan pinjaman kewangan sebanyak RM20,000, seorang akauntan wanita di sebuah syarikat swasta di sini rugi RM48,560, selepas ditipu ejen syarikat pinjaman kewangan tidak wujud.

Mangsa yang pada mulanya telah tertarik dengan tawaran pinjaman dalam talian di pautan https://isaving.my/zh di laman Google, telah membayar jumlah tersebut ke lima akaun bank berbeza melalui 12 transaksi secara perbankan internet dan melalui mesin deposit tunai (CDM), mulai Selasa lepas.

Pembayaran itu adalah untuk urusan pinjaman seperti dokumen perbankan, pendaftaran, fi pemprosesan dan cukai, untuk kelulusan segera.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, mangsa telah dijanjikan pulangan semula wang tersebut, selepas mendapat kelulusan pinjaman.

"Selepas membuat kesemua pembayaran, mangsa masih diminta membuat beberapa lagi pembayaran bagi tujuan pengeluaran kesemua wang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berasa curiga, mangsa telah membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sibu semalam untuk tindakan lanjut. - Bernama