Ops Pantau: Hampir 18,000 premis diperiksa tempoh seminggu

Fuziah (kiri) beramah mesra dengan peniaga di Bazar Ramadan Bayan Baru hari ini. - Foto Bernama
Fuziah (kiri) beramah mesra dengan peniaga di Bazar Ramadan Bayan Baru hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BAYAN BARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memeriksa 17,920 premis perniagaan dalam Ops Pantau di seluruh negara sejak 23 Mac lalu sehingga Rabu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata, selain daripada jumlah premis tersebut, lebih 6,000 bazar Ramadan seluruh negara telah diperiksa.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,803 premis perniagaan dan 331 bazar Ramadan telah diperiksa di Pulau Pinang dalam tempoh sama.

"Menerusi pemeriksaan tersebut, sebanyak RM11,400 kompaun dikeluarkan melibatkan 92 kes. Dalam tempoh sama, KPDN menerima 283 aduan daripada pengguna berhubung pelbagai isu yang mana, antara aduan tertinggi adalah harga mahal, alat timbang yang tidak dikalibrasi dan sebagainya.

"Semalam sahaja kita menerima 51 aduan dengan jumlah kompaun bernilai RM3,000," katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) dan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Op Pantau 2023 dilaksanakan secara seragam dan berfokus bermula 23 Mac sehingga 21 April nanti dengan tumpuan operasi seperti di bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan aktiviti jualan dalam talian.

Pemeriksaan memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2023.

Beliau berkata, pemantauan tersebut dijalankan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan harga barangan di premis perniagaan dan makanan yang dijual di bazar Ramadan sentiasa berpatutan dan berkualiti.

"KPDN sentiasa mengambil berat dan memastikan umat Islam serta pengguna mendapat perkhidmatan terbaik daripada peniaga di bazar Ramadan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, sehingga kini sebanyak 38 lokasi sedang melaksanakan BRR di seluruh negara, termasuk dua lokasi BRR yang dilaksanakan bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam menyantuni rakyat di sekitar Pulau Pinang sepanjang Ramadan ini.

"Antara kriteria BRR adalah sebahagian peniaga menawarkan Menu Rahmah, lokasi yang menjadi tempat tumpuan rakyat dan menggalakkan kadar sewa Rahmah serta berpatutan kepada peniaga berdasaenan lokaliti.

"Di Pulau Pinang, KPDN bersama MBPP juga meneruskan perluasan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) yang bertujuan untuk memastikan peniaga kecil ini tidak terus ketinggalan di dalam arus perdana dan bersama-sama dalam melibatkan diri menerusi model baharu perniagaan secara digital.

"Selari dengan matlamat tersebut, seramai 55 peniaga di BRR Bayan Baru telah mengaplikasikan pembayaran digital tanpa tunai," katanya.

Beliau berkata, selain itu, kementerian turut mengagihkan pemberian insentif RM20 kepada 1,000 pengunjung terawal menerusi platform e-dompet dan sehingga hari ini seramai 4,000 orang di empat BRR telah menerima insentif tersebut.

"Kami memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk 96,000 pengunjung yang datang bazar Ramadan di seluruh negara dalam usaha kita menggalakkan orang ramai berbelanja," katanya.