ADUN Chuah taja 189 murid buka akaun bank

Diew Ching (kiri) ketika menyerahkan sumbangan pembiayaan pembukaan akaun tabung pendidikan tinggi.
Diew Ching (kiri) ketika menyerahkan sumbangan pembiayaan pembukaan akaun tabung pendidikan tinggi.
A
A
A

PORT DICKSON - Seramai 189 murid Tahun Satu di sembilan sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah menerima pembiayaan pembukaan akaun bank melalui bantuan tabung pendidikan bernilai RM150 seorang pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yek Diew Ching berkata, inisiatif ini sebagai galakkan kepada mereka untuk menabung.

"Setakat ini perkhidmatan perbankan untuk membuka tabung pendidikan tinggi tiada di kawasan DUN Chuah jadi penduduk terpaksa menerima perkhidmatan itu di Pekan Lukut atau di Pekan Sepang, Selangor.

"Justeru, saya mengambil kesempatan ini bekerjasama dengan pihak sekolah dan bank untuk memastikan murid-murid yang ingin membuka akaun tabung berkenaan tidak terjejas," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Diew Ching (berbaju oren) bersama penerima sumbangan pembiayaan pembukaan akaun tabung pendidikan tinggi.
Diew Ching (berbaju oren) bersama penerima sumbangan pembiayaan pembukaan akaun tabung pendidikan tinggi.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan semua ibu bapa mengambil peluang ini demi masa depan anak-anak terutamanya apabila mereka ingin melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi kerana ia turut melibatkan perbelanjaan yang banyak.

Sebelum itu, Diew Ching menyerahkan bantuan itu kepada 14 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tanah Merah Site C di sini.

Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peruntukan RM160 juta bagi pembinaan jalan dan jambatan Sungai Sepang pada pembentangan Belanjawan 2023 yang lalu.

Katanya, usaha itu tidak menjejaskan perkhidmatan feri dan juga hutan paya bakau.

" Jika jambatan ini siap kelak, ia dapat mengurangkan setengah jam pergerakan antara kedua-dua arah namun percaya khidmat feri masih diperlukan di sini," katanya.