Laluan landai bukan jaminan dapat emas

Nur Aisyah ketika ditemui media di Nilai pada Rabu. - Foto Facebook MSN
Nur Aisyah ketika ditemui media di Nilai pada Rabu. - Foto Facebook MSN
A
A
A

STRUKTUR laluan landai bagi acara berbasikal lebuh raya di Sukan SEA, Kemboja bukan jaminan buat skuad berbasikal negara mudah meraih pingat emas pada temasya dwitahunan itu Mei depan.

Pelumba basikal wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir berkata, situasi itu turut memberi manfaat kepada pasukan negara lain yang mempunyai kelebihan dalam memecut untuk menjuarai acara berbasikal lebuh raya.

Bagaimanapun, pelumba berusia 26 tahun itu bersama rakan sepasukan akan menggunakan strategi yang sesuai selain mencuri ruang untuk berkomunikasi ketika perlumbaan bagi mendahului pasukan lain.

“Laluan di Kemboja adalah rata tetapi bukan mudah untuk dapat emas. Berbanding ketika Sukan SEA, Hanoi, ini lagi mudah,” katanya.

Terdahulu Timbalan Ketua Kontinjen negara ke Sukan SEA Kemboja, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee meninjau persiapan atlet berbasikal di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai pada Rabu.

Sharon (kiri) dan Shalin (dua dari kiri) meninjau sesi latihan skuad berbasikal negara di Nilai pada Rabu. - Foto Facebook MSN
Sharon (kiri) dan Shalin (dua dari kiri) meninjau sesi latihan skuad berbasikal negara di Nilai pada Rabu. - Foto Facebook MSN

Atlet kelahiran Terengganu itu memberitahu, skuad kebangsaan akan berlepas ke Thailand pada 6 April ini bagi menghadapi dua kejohanan sebagai medan persiapan sebelum ke Sukan SEA.

Katanya, kejohanan itu mampu membantu skuadnya mengenali dan mengetahui tahap kekuatan pasukan lawan sebelum ke Kemboja.

Pada Sukan SEA di Hanoi tahun lepas, Nur Aisyah meraih dua pingat perak masing-masing dalam acara lebuh raya wanita individu dan lebuh raya wanita berpasukan. - Bernama