Exco fail tuntutan tribunal kecewa kualiti kasut dibeli

Veerapan kecewa dengan kualiti kasut berjenama yang dibelinya di ibu negara Februari lepas.
Veerapan kecewa dengan kualiti kasut berjenama yang dibelinya di ibu negara Februari lepas.
A
A
A

TAMPIN - Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan akan memfailkan tuntutan ganti rugi di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) selepas tidak berpuas hati dengan kualiti kasut sukan berjenama yang dibelinya.

Jelasnya, kasut pada harga kira-kira RM600 itu dibelinya di sebuah pusat membeli-belah di ibu negara pada Februari lepas.

Beliau bagaimanapun meluahkan rasa kecewa apabila jahitan benang pada salah satu kasut tersebut sudah terkeluar sebelum meminta kakitangan di kedai terbabit menggantikannya dengan yang baharu.

"Saya kemudiannya dimaklumkan oleh kakitangan kedai itu bahawa kasut itu tiada jaminan.

"Apa yang lebih kesal mereka mendakwa saya memakainya dengan kasar dan saya syaki kasut tersebut berkemungkinan daripada stok lama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Jelasnya, beliau hanya berkesempatan memakai kasut tersebut sebanyak dua kali dan meminta ganti rugi daripada pihak berkenaan namun tidak diendahkan.

"Malah layanan daripada pekerja juga tidak mesra pelanggan. Justeru, saya akan memfailkan kes itu di TTPM dalam masa terdekat untuk menuntut ganti rugi pembelian kasut berkenaan," ujarnya.