Warga emas disamun dua lelaki berparang ketika sahur

Rumah wanita warga emas yang disamun dua lelaki bersenjatakan parang di Bukit Pasir, Batu Pahat pada Rabu.
Rumah wanita warga emas yang disamun dua lelaki bersenjatakan parang di Bukit Pasir, Batu Pahat pada Rabu.
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang wanita warga emas cedera selepas disamun dua lelaki bersenjatakan parang semasa mahu bersahur bersama keluarga di rumahnya Bukit Pasir di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam kejadian pada jam 5 pagi, mangsa yang berusia 64 tahun baru bangun untuk menyediakan makanan untuk bersahur.

"Mangsa tinggal bersama suami dan dua anak. Semasa kejadian mangsa bangun awal untuk panaskan juadah sahur.

"Semasa membuka lampu tiba-tiba ternampak seorang suspek di hadapannya dan seorang lagi berhampiran pintu belakang.

"Suspek di hadapannya yang bersenjatakan parang terus menyerang mangsa sambil merentap seutas rantai leher dan seutas gelang emasnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan dan kepala mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.

Beliau berkata, siasatan mendapati tiada kesan pecah rumah dan suspek dipercayai membuka pintu belakang rumah melalui lubang jaring berhampiran dengan penyelak pintu sebelum masuk dan keluar melalui pintu yang sama.

"Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM6,000.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan," katanya.