KKM didakwa ditekan 'Little Napoleon'

Surat yang turut dikepilkan dalam ciapan itu dan ciapan HDK di Twitter pada Selasa.
Surat yang turut dikepilkan dalam ciapan itu dan ciapan HDK di Twitter pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Hartal Doktor Kontrak (HDK) mempersoalkan sama ada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini ditekan oleh 'Little Napoleon' atau Diktator Kecil.

Ia merujuk kepada sekumpulan kecil penjawat awam yang berusaha menunjukkan kuasa dengan menunda atau sengaja melambatkan sistem penyampaian, perkhidmatan dan pelaksanaan kerajaan.

Dalam ciapan di Twitter pada Selasa, HDK turut meminta pandangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang perkara itu susulan beberapa isu yang timbul.

Antara isu yang dibangkitkan adalah mereka memohon penjelasan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sama ada kadar elaun RM9 sejam bersesuaian pada tahun 2023.

“Tahukah JPA bahawa sistem ‘oncall’ bukan bermakna pegawai perubatan boleh balik rumah dan hanya ke hospital kalau ada kecemasan? Kalau JPA minta KKM kaji sistem ‘oncall’, apa cadangan JPA pula?

“Kalau KKM ingin melaksanakan sistem syif, sediakah JPA untuk melantik lebih ramai staf atau kakitangan?

“Kalau tak nak lantik lebih ramai staf, sistem ‘oncall’ perlu diteruskan. Berbalik kepada soalan satu, sesuaikah kadar RM9 sejam pada 2023?” soalnya.

Dalam ciapan itu, HDK turut mengepilkan satu surat, yang antara lain menyatakan KKM telah mengemukakan permohonan kepada JPA berhubung cadangan kenaikan kadar ETAP sebanyak 50 peratus daripada kadar bayaran sedia ada pada 24 Jun 2022.

Namun, JPA melalui surat bertarikh 8 Ogos 2022 memaklumkan bahawa permohonan itu tidak dapat dipertimbangkan berasaskan beberapa perkara, antaranya adalah kadar semasa ETAP masih bersesuaian.

Selain itu, pegawai perubatan turut menikmati pelbagai elaun lain seperti bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, bayaran Insentif Pakar, elaun bertugas pegawai perubatan selepas waktu pejabat di jabatan kecemasan hospital dan klinik kesihatan serta elaun Pembedahan Elektif.