Banduan didakwa bunuh rakan satu sel

Mohd Fahrur Radzi (depan, tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Rabu.
Mohd Fahrur Radzi (depan, tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang banduan didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Rabu atas tuduhan membunuh seorang banduan lain pada Februari lalu.

Mohd Fahrur Radzi Chahat, 34, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kematian seorang lelaki warga Indonesia, Paidi Atmok Sukar.

Kesalahan itu dilakukan di Bilik No 48, Tingkat 1, Zon A, Blok Cekal Kompleks Penjara Sungai Udang kira-kira jam 2.15 petang, pada 17 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J Banusha tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam kerana ia mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Majistret Mazana kemudian menetapkan 29 Mei ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Sinar Harian pada 24 Februari lalu menyiarkan seorang banduan warga Indonesia berusia 47 tahun meninggal dunia selepas tujuh hari menerima rawatan di Hospital Melaka akibat kecederaan selepas bergaduh dengan rakan sebilik di Penjara Sungai Udang.