'Ahmad Zahid perlu yakinkan rakyat'

Yahya
Yahya
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu meyakinkan rakyat dengan membawa pembaharuan dalam pentadbirannya memandangkan beliau mempunyai 47 pertuduhan berkenaan rasuah.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya Sahri berkata, ini kerana banyak pihak termasuk rakyat, pemimpin luar negara dan juga pembangkang sedang memerhatikan beliau.

“Kalau tanya saya sendiri, adakah saya setuju orang didakwa, memang saya tidak setuju. Tetapi dalam keadaan sekarang, dari sudut politik, kena terima itulah suasananya. Ahmad Zahid sudah tentu kena tunjukkan (yang terbaik) sebab dalam keadaan ini, rakyat, pemimpin luar negara, pembangkang fokus kepada dia.

“Beliau kena tunjukkan bahawa dia mesti membawa satu pembaharuan sebagaimana citarasa yang dikehendaki oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin membangun Malaysia Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar siri 390 bertajuk 'Ramadan: Gencatan Politik atau Ambil Kesempatan? Yang disiarkan di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.

Dari kiri, Ismail, Afif, Yahya dan Hamdan ketika Wacana Sinar siri 390 bertajuk 'Ramadan: Gencatan Politik atau Ambil Kesempatan?
Dari kiri, Ismail, Afif, Yahya dan Hamdan ketika Wacana Sinar siri 390 bertajuk 'Ramadan: Gencatan Politik atau Ambil Kesempatan?

Turut menjadi panelis adalah Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Shah Alam, Dr Afif Bahardin dan Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Madya Dr Hamdan Mohd Salleh manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Tambah Yahya, sebagai ahli politik, mereka perlu mendapatkan kepercayaan sepenuhnya daripada rakyat bagi memastikan dapat mentadbir negara dengan baik.

“Kita kena mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada rakyat tidak kira kerajaan atau pembangkang sebab rakyat bergantung pada ahli politik. Rakyat tunggukan mereka termasuklah perbahasan di dewan rakyat atau negeri.

“Ini (perbahasan) yang mereka lihat untuk mengetahui ia akan mendatangkan keuntungan kepada rakyat atau tidak,” ujarnya.

Tambah Yahya, beliau turut bersetuju bahawa pemberian pasport kepada Ahmad Zahid akan menimbulkan perspektif negatif kepada Kerajaan Perpaduan.

Pada Isnin, Ahmad Zahid berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa dan diplomatiknya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong.