UUM sumbang RM7,100 #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare

Shahimi (empat darikiri) menyampaikan sumbangan #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare kepada Pengarah Eksekutif Grup Media Karangkraf, Farah Hussamuddin yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Selasa.
Shahimi (empat darikiri) menyampaikan sumbangan #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare kepada Pengarah Eksekutif Grup Media Karangkraf, Farah Hussamuddin yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Utara Malaysia (UUM) menyerahkan cek sumbangan berjumlah RM7,100 kepada tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Shahimi Mohtar berkata, inisiatif membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria dilaksanakan atas dasar kemanusiaan yang menjadi tunjang utama institusi tersebut.

“UUM mempunyai sebuah tabung khas bagi tujuan pengurusan bencana dan mula dilancarkan semasa pandemik Covid-19.

“Usaha baik ini kita akan teruskan dan melihat sokongan yang diberikan oleh warga UUM amat memberangsangkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Shahimi
Shahimi

Dalam pada itu, Shahimi berkata, kutipan dana bagi bantuan itu tercetus apabila mendapat maklumat bahawa Sinar Harian sebagai agensi media yang akan menghantar bantuan bencana secara terus kepada mangsa gempa bumi di negara terjejas.

Jelasnya, tabung tersebut adalah sumbangan daripada warga UUM yang prihatin dengan nasib menimpa masyarakat di Turkiye dan Syria.

“Tabung ini dilancarkan sebaik bencana dilaporkan dan saya berterima kasih kepada Sinar Harian yang menjadi perantara utama untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa.

“Penderma tabung ini termasuk pelajar dan juga pensyarah serta staf pentadbiran,” ujarnya.

Menurutnya, UUM sentiasa bersedia menghulurkan bantuan sama ada dalam negara mahupun luar negara dan institusi itu juga mempunyai sukarelawan terdiri daripada para pelajar serta kesemua warganya dengan pelbagai kelengkapan sekiranya memerlukan bantuan bencana.

“Kebanyakan warga UUM yang terlibat dengan kerja sukarelawan memang mempunyai minat tinggi untuk membantu masyarakat.

“Sumbangan yang kami hulurkan bukan sahaja berbentuk wang semata-mata tetapi kami turut mempunyai pasukan khas bagi membantu sekiranya diperlukan,” katanya.