JPV siasat kes seksa, bunuh kucing dalam kondominium

Laporan muka depan Sinar Harian Sabtu lalu.
Laporan muka depan Sinar Harian Sabtu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah melakukan pemeriksaan susulan selepas menerima aduan secara rasmi berhubung kes seksa dan bunuh kucing di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada Jumaat lalu.

JPV dalam satu kenyataan memaklumkan, susulan aduan tersebut JPV Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah membuat pemeriksaan di lokasi kejadian pada Sabtu lalu.

"Hasil siasatan mendapati premis tersebut tidak lagi berpenghuni dan telah dibersihkan serta tidak menjumpai sebarang bangkai haiwan.

“JPV sedang meneliti kes ini dan akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Sabtu lalu, Persatuan Haiwan Malaysia menggesa JPV membuat siasatan menyeluruh dan komprehensif berhubung penemuan puluhan bangkai dan rangka kucing dalam sebuah kediaman di Kondominium Bayu Tasik dekat Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada pada 11 Mac lalu.

Sementara itu, JPV menggesa orang awam menyalurkan maklumat kepada pihaknya berhubung kes seksa dan bunuh haiwan.

“Mana-mana persatuan berkaitan haiwan dan orang awam diminta untuk menyalurkan sebarang aduan terus kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar melalui awa.dvs.gov.my (MyAnimalWelfare) bagi membolehkan tindakan segera oleh jabatan,” katanya.