1,500 Bakul Rahmah diagihkan ke Tambun

Anwar melepaskan Flag Off Konvoi Bakul Rahmah ke Tambun yang diadakan di Lobi Pejabat Ketua Majlis, Bangunan Parlimen pada Selasa.
Anwar melepaskan Flag Off Konvoi Bakul Rahmah ke Tambun yang diadakan di Lobi Pejabat Ketua Majlis, Bangunan Parlimen pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 1,500 kotak Bakul Rahmah dilepaskan ke Parlimen Tambun untuk diagihkan kepada kumpulan miskin tegar B10 iaitu individu berpendapatan kurang daripada RM2,500 bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang dialami golongan tersebut.

Pelepasan Konvoi Bakul Rahmah ke Tambun disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen kawasan itu dan turut dihadiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Selasa.

Salahuddin berkata, hampir 36,000 kotak Bakul Rahmah telah diedarkan di seluruh negara setakat ini.

"Ini bermakna kita telah mencapai sasaran hampir 75 peratus, sebab kita sasarkan untuk berikan sebanyak 48,000 Bakul Rahmah.

"Di samping itu, saya yakin dan percaya inisiatif lain seperti Jualan Raya Rahmah juga sedang berjalan.

"Saya harap rakyat dapat ambil manfaat daripada inisiatif ini dan sememangnya harga-harga pakaian dan barang asas di pasar raya terpilih memang dijual dalam harga yang sangat Rahmah," katanya selepas melepaskan Konvoi Bakul Rahmah ke Tambun, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menggerakkan inisiatif Bakul Rahmah dengan kerjasama rakan strategik, pemain industri (pasar raya), agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ujarnya, sehingga hari ini, inisiatif tersebut semakin mendapat perhatian ramai terutama syarikat korporat dan ia akan diumumkan dari semasa ke semasa.

"KPDN amat berbesar hati untuk menerima sumbangan berbentuk makanan harian daripada semua pihak untuk diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah dengan lebih berkesan, konsisten dan bersasar.

"Kementerian berharap lebih ramai pihak industri, NGO, tokoh korporat, dermawan dan orang perseorangan dapat bersama-sama menggembleng tenaga dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar dan seterusnya menjayakan inisiatif Bakul Rahmah ini," jelasnya.