Pemandu lori tong gas maut kemalangan

Lori muatan tong gas terbabas dalam kemalangan maut di Pasir Salak pada Isnin. - Foto Ihsan Bomba Perak
Lori muatan tong gas terbabas dalam kemalangan maut di Pasir Salak pada Isnin. - Foto Ihsan Bomba Perak
A
A
A

PASIR SALAK - Seorang lelaki maut dalam nahas membabitkan dua lori di Kilometer 32, Jalan Teluk Intan-Sitiawan dekat Kampung Gajah di sini pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 1.45 petang itu, mangsa, Azmil A Bakar, 38, yang memandu lori jenis Mitsubishi Fuso muatan tong gas disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu mangsa melanggar belakang lori jenis Isuzu dipandu lelaki berusia 35 tahun.

"Kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari Teluk Intan menuju ke Sitiawan. Setiba di lokasi kejadian, lori mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang lori jenis Isuzu.

"Kemalangan itu menyebabkan lori mangsa terbabas dan terbalik ke bahu kiri jalan manakala lori Isuzu tersebut berpusing dan terbabas ke kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, pemandu Isuzu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu lori Mitsubishi Fuso disahkan maut di tempat kejadian.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah 'polytrauma consistent with the road traffic accident'.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini boleh menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di talian 014-6790829 bagi membantu siasatan.