Karate prospek 'lubuk emas' kontinjen Malaysia

Tamer Abdelraouf
Tamer Abdelraouf
A
A
A

ACARA karate tetap menjadi prospek utama 'lubuk emas' buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan SEA 2023 yang bakal menyingkap tirai di Phnom Penh, Kemboja dari 5 hingga 17 Mei ini.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023, Datuk Mohd Nasir Ali berharap tradisi itu diteruskan skuad karate negara yang kini dibimbing ketua jurulatih baharu dari Mesir, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy.

"Skuad karate selama ini tidak pernah mengecewakan apabila masih merupakan antara penyumbang pingat Sukan SEA. Edisi Hanoi 2021 tahun lalu, skuad karate menghadiahkan kontinjen negara dengan empat pingat emas.

"Jadi kita mengharapkan supaya tradisi kecemerlangan ini dapat diteruskan, selain kem karate juga antara sukan penyumbang pingat emas buat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau persiapan skuad karate negara di Dewan Latihan Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Isnin.

Pada masa sama, Mohd Nasir percaya barisan atlet karate akan meraih keputusan lebih positif dengan kehadiran Tamer Abdelraouf yang kini bertanggungjawab membimbing skuad senior dan pelapis.

"Saya yakin dengan kemampuan skuad karate kali ini, apatah lagi kesungguhan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) yang telah melakukan persiapan rapi dengan menyertai beberapa kejohanan sebagai persiapan ke Kemboja.

"Atlet karate negara juga sebenarnya amat teruja untuk mengharungi Sukan SEA Kemboja ini kerana ia sebagai pentas pembakar semangat untuk memberikan lebih cabaran di Sukan Asia Hangzhou," ujarnya.