Charles Santiago Pengerusi SPAN baharu

Charles Santiago
Charles Santiago
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago dilantik sebagai pengerusi baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkuat kuasa pada 20 Mac lalu.

Pelantikan tersebut secara amnya telah melengkapkan barisan kepimpinan Anggota Suruhanjaya baharu SPAN bagi penggal 2023 hingga 2025.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penyerahan watikah bagi pelantikan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

Beliau berharap kepimpinan baharu SPAN dapat membantu mencapai objektif agenda Transformasi Sektor Air (WST 2040).

“Saya percaya bahawa barisan ini akan mampu memacu SPAN untuk terus kekal menjadi sebuah organisasi yang progresif, proaktif dan disegani dalam pengawal seliaan perkhidmatan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang kepakaran masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, mendepani cabaran yang lebih getir terhadap perkhidmatan air di masa hadapan, SPAN melalui warga kerjanya serta anggota suruhanjaya perlu bergerak secara sinergi dalam memastikan perkhidmatan air dapat dilestarikan melalui perancangan strategik, pengawal seliaan yang rapi serta penguatkuasaan terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Pada kesempatan ini juga, saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada barisan anggota suruhanjaya terdahulu yang telah menjalankan tugas mereka dengan berdedikasi,” katanya.