Suami isteri maut kereta terbabas elak lori terbalik

Keadaan kereta Proton Preve yang remuk selepas melanggar sebatang pokok. Foto: Ihsan JBPM
Keadaan kereta Proton Preve yang remuk selepas melanggar sebatang pokok. Foto: Ihsan JBPM
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori satu tan di KM38.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan terbabit pada jam 6.29 petang.

Katanya, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Preve yang cuba mengelak sebuah lori satu tan yang terbalik di lorong kanan jalan.

"Bagaimanapun pemandu kereta berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar sebatang pokok," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang.

"Anggota bomba yang tiba di lokasi kemudiannya berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pemandu lori hanya mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan," katanya.

Ahmad Shukri berkata, mayat kedua-dua mangsa di hantar ke hospital sama untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!