Warga asing anjur parti liar di kondo mewah diberkas

Cheng San menunjukkan gambar suspek warga asing yang terlibat dengan parti liar di sebuah kondominium mewah pada 23 Mac lalu.
Cheng San menunjukkan gambar suspek warga asing yang terlibat dengan parti liar di sebuah kondominium mewah pada 23 Mac lalu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sekumpulan warga asing dari China dan Vietnam diberkas polis selepas terlibat dengan parti liar yang diadakan di sebuah kondominium mewah di Juru, di sini pada Khamis lalu.

Serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) kira-kira jam 12.30 tengah malam itu hasil risikan yang dibuat berhubung aktiviti tidak bermoral dan penyalahgunaan dadah dilakukan kumpulan terbabit.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, ketika serbuan pihaknya menahan empat lelaki dan seorang wanita warganegara China dan enam wanita Vietnam.

Menurutnya, pemeriksaan dibuat turut menemui tiga bungkusan serbuk dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 117 gram bernilai RM5,850 dan dua peket plastik lut sinar mengandungi dadah jenis ketamin seberat 2.42 gram bernilai RM363.

"Kita turut menemui satu jug kaca berisi cecair dadah MDMA yang dianggarkan sebanyak 700 mililiter bernilai RM500 yang digunakan kumpulan terbabit untuk berhibur.

"Siasatan mendapati unit kondominium terbabit disewa oleh wanita warga China berusia 44 tahun dengan kadar sewa lebih RM1,000 dan kesemua mereka merupakan rakan selain mempunyai dokumen perjalanan yang sah ke negara ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di sini, pada Isnin.

Cheng San berkata, hasil ujian air kencing dilakukan terhadap mereka mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Katanya, semakan dibuat mendapati kesemua mereka tiada rekod lampau berkaitan dadah dan kes jenayah.

Ditanya mengenai bekalan dadah yang diperoleh, Cheng San berkata, bahan terlarang itu dibawa oleh salah seorang daripada mereka yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah berkenaan.

Cheng San (tengah) bersama pegawai penyiasat kes menunjukkan dadah yang dirampas.
Cheng San (tengah) bersama pegawai penyiasat kes menunjukkan dadah yang dirampas.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lebih terperinci mengenai segala kemungkinan aktiviti jenayah yang dilakukan kumpulan warga asing itu termasuk kegiatan penipuan dalam talian atau scammer di negeri ini.

"Pasukan Bahagian Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah SPT masih lagi menyiasat mengenai perkara berkenaan.

"Kita curiga kerana jumlah rampasan yang ditemui hanya sejumlah kecil, mereka masuk ke negara ini dengan visa pelancong selain tiada pekerjaan yang dilakukan... ini semua elemen yang kita siasat untuk kenal pasti sama ada mereka ini terlibat atau tidak dengan jenayah lain," katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan mendapati ada di kalangan suspek yang telah berkahwin dengan warga tempatan selain ada antara mereka yang dijadikan perempuan simpanan oleh lelaki di sini.

Cheng San berkata, kesemua suspek berusia antara 18 hingga 54 tahun itu kini direman selama tujuh hari bermula 23 hingga 29 September depan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, sabit kesalahan kesemua mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati mereka boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.