Kanak-kanak lelaki cedera tersepit pintu lif

Kanak-kanak lelaki tersepit di bahagian lubang antara pintu lif dan dinding bangunan berjaya diselamatkan anggota bomba dalam kejadian di sebuah blok PPR Hicom, Seksyen 26 pada petang Ahad.
Kanak-kanak lelaki tersepit di bahagian lubang antara pintu lif dan dinding bangunan berjaya diselamatkan anggota bomba dalam kejadian di sebuah blok PPR Hicom, Seksyen 26 pada petang Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menanggung kesakitan hampir 20 minit akibat tersepit pada pintu lif dalam kejadian di sebuah blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom, Seksyen 26 di sini pada petang Ahad.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 7.20 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 7.30 petang.

"Kejadian melibatkan lif dinaiki lima individu termasuk mangsa berumur setahun enam bulan yang dalam perjalanan turun dari tingkat enam.

"Lif tersebut bagaimanapun tersangkut di tingkat empat dan pada masa mangsa telah terjatuh lalu tersepit di bahagian lubang antara pintu lif dan dinding bangunan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit kemudiannya dikeluarkan oleh anggota bomba terlibat dengan menggunakan peralatan khas dalam tempoh lima minit.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala kemudian dikejarkan ke Hospital KPJ Shah Alam untuk rawatan selanjutnya," katanya.

Dalam pada itu, Morni berkata, empat lagi mangsa lain yang terperangkap dalam lif tersebut turut berjaya dikeluarkan.

"Selain kanak-kanak tersebut, empat lagi mangsa terlibat adalah seorang lelaki dan tiga perempuan.

"Empat lagi mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.