11 ditahan termasuk wanita terlibat pergaduhan

Tangkap layar kejadian yang memaparkan pergaduhan terbabit.
Tangkap layar kejadian yang memaparkan pergaduhan terbabit.
A
A
A

PASIR GUDANG - Polis menahan 10 lelaki dan seorang wanita dipercayai terlibat dalam pergaduhan dan membuat bising di Taman Cendana di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 1 minit 31 saat menerusi akaun Twitter yang memaparkan pergaduhan tersebut sebelum menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 11.05 malam Ahad lalu.

"Pergaduhan melibatkan sekumpulan warga tempatan di kawasan perumahan Taman Cendana. Tangkapan melibatkan 10 lelaki dan seorang wanita berusia 17 sehingga 53 tahun.

"Hasil siasatan mendapati pergaduhan berpunca daripada beberapa suspek yang ditangkap membuat bising setelah mengambil minuman keras," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati enam daripada suspek berkenaan mempunyai rekod lampau melibatkan 13 rekod jenayah serta tiga rekod berkaitan dadah.

Menurutnya, seorang daripada mereka juga mempunyai dua rekod dikehendaki polis melibatkan kes jenayah dadah.

Beliau memberitahu, siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya Negeri Johor. Sembilan suspek sudah dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan didenda RM2,000 atau lima bulan penjara," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!