[VIDEO] Empat bot, 31 nelayan Vietnam ditahan curi hasil laut

Syed Nor Adli menunjukkan sebahagian daripada nelayan asing Vietnam yang ditahan oleh Maritim Malaysia Kelantan.
Syed Nor Adli menunjukkan sebahagian daripada nelayan asing Vietnam yang ditahan oleh Maritim Malaysia Kelantan.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan empat bot dan 31 nelayan asing Vietnam dipercayai menjalankan aktiviti mencuri hasil laut negara menerusi dua operasi berasingan.

Operasi itu turut melibatkan rampasan berjumlah RM4.2 juta termasuk bot, peralatan navigasi, bekalan diesel 9,200 liter dan ikan 1,000 kilogram.

Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, bot ronda Maritim Malaysia telah berjaya melakukan dua tangkapan sekitar jam 3.45 dan 4 petang Isnin lalu.

"Bot pertama dikendalikan oleh lima kru termasuk tekong. Manakala bot kedua oleh dua kru termasuk tekong.

"Kedua-duanya ditahan pada sekitar jarak 64 batu nautika dari Muara Tok Bali," katanya semasa sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan Tok Bali di sini pada Ahad.

Operasi itu turut melibatkan rampasan berjumlah RM4.2 juta termasuk bot, peralatan navigasi, bekalan diesel 9,200 liter dan ikan 1,000 kilogram.
Operasi itu turut melibatkan rampasan berjumlah RM4.2 juta termasuk bot, peralatan navigasi, bekalan diesel 9,200 liter dan ikan 1,000 kilogram.

Menurut beliau, dua tangkapan seterusnya dilakukan oleh Kapal Maritim (KM) Jujur pada Rabu lalu hasil maklumat disalurkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi rondaan udara.

Ujarnya, bot pertama yang dinaiki enam kru termasuk tekong ditahan jam 8.45 pagi manakala bot kedua pula ditahan pada jam 10.57 pagi melibatkan 18 kru termasuk tekong.

"Semasa tangkapan dibuat, kesemua bot nelayan asing yang terlibat tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan sebelum berjaya ditahan.

"Bukan itu sahaja, pihak kami mendapati hasil tangkapan tidak banyak ekoran modus operandi digunakan mereka dengan memindahkan segera ikan-ikan tersebut kepada pihak lain yang berada di sempadan perairan," katanya.

Beliau memberitahu, kes tersebut akan disiasat bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 16 (3) akta yang sama.

Menurutnya, kesemua kru berusia 14 hingga 64 tahun itu akan disiasat bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.