Tertekan pedal minyak, Proton X50 rempuh kedai

Keadaan sebuah kereta yang merempuh masuk sebuah kedai di Jalan Bandar Timah, Ipoh pada Sabtu akibat kecuaian tertekan pedal minyak. Keadaan Proton X50 yang merempuh sebuah kedai di Jalan Bandar Timah, Ipoh pada Sabtu. - Foto Ihsan Pembaca (Gambar kecil: Yahaya)
Keadaan sebuah kereta yang merempuh masuk sebuah kedai di Jalan Bandar Timah, Ipoh pada Sabtu akibat kecuaian tertekan pedal minyak. Keadaan Proton X50 yang merempuh sebuah kedai di Jalan Bandar Timah, Ipoh pada Sabtu. - Foto Ihsan Pembaca (Gambar kecil: Yahaya)
A
A
A

IPOH - Akibat tersalah tekan pedal minyak, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu seorang wanita merempuh masuk sebuah kedai di Jalan Bandar Timah di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 6 petang itu, pemandu berusia lingkungan 50-an yang bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta mengalami lebam di dahi.

Kejadian turut mengakibatkan penumpang SUV, seorang warga emas luka di muka.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, ketika kejadian, mangsa bersama empat ahli keluarga lain meletakkan kenderaan di situ untuk keluar makan.

Menurutnya, setelah semua penumpang turun, wanita terbabit tidak sengaja tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan jenis Proton X50 itu naik ke atas pembahagi kaki lima deretan kedai di situ.

"SUV itu kemudiannya melanggar masuk ke sebuah kedai makan. Kebetulan premis terbabit tidak menjalankan perniagaan ketika kejadian," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata, akibat kejadian, SUV terlibat mengalami beberapa kerosakan di bahagian depan termasuk cermin pecah.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, wanita itu bersama keluarganya datang dari Selangor untuk bercuti di Ipoh.

"Pemilik kedai telah dimaklumkan akan kejadian itu," katanya.