Tiga beradik ditemui dengan kaki berantai disyaki didera

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KANGAR - Tiga beradik dipercayai mangsa dera ditemui dalam keadaan kaki masih berantai di tepi titi, Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, mangsa berusia 13 hingga 16 tahun ditemui oleh orang awam yang kemudiannya melaporkan perkara itu kepada polis.

"Ketika ditemui, dua daripada mangsa dirantai bersama di bahagian kaki, manakala seorang lagi tidak dirantai.

"Mereka dipercayai dikurung dan dirantai di dalam rumah oleh ibu mereka yang tidak tinggal bersama mereka sebelum bertindak melarikan diri kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Bagaimanapun, Yusharifuddin memaklumkan, pihaknya masih meneruskan siasatan untuk mendapatkan maklumat lain memandangkan mangsa enggan bercakap.

Beliau memaklumkan, semakan polis mendapati dua daripada mangsa memiliki kad orang kurang upaya (OKU) masalah pendengaran dan pembelajaran.

Tambah Yusharifuddin, ketiga-tiga mangsa kini sedang menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) serta dilaporkan stabil.

"Saya dimaklumkan seorang mangsa yang berusia 16 tahun didapati mempunyai kesan luka lama pada kedua belah tangannya, namun masih menantikan laporan dua beradik itu," katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, pihaknya telah menahan seorang wanita dipercayai ibu mereka berusia 46 tahun dan seorang lelaki berusia 31 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurut Yusharifuddin, kedua-duanya direman selama tujuh hari bermula Sabtu sehingga 31 Mac depan.