Penerbangan dibatalkan akibat mogok di Jerman

Papan jadual waktu yang menunjukkan penerbangan dibatalkan susulan protes pekerja di Lapangan Terbang Cologne Bonn pada 27 Februari lalu. - Foto fail Reuters
Papan jadual waktu yang menunjukkan penerbangan dibatalkan susulan protes pekerja di Lapangan Terbang Cologne Bonn pada 27 Februari lalu. - Foto fail Reuters
A
A
A

BERLIN - Lapangan Terbang Munich Jerman terpaksa membatalkan semua penerbangan yang dijadualkan pada Ahad dan Isnin akibat mogok, lapor Agensi Anadolu.

"Tiada penerbangan awam dijadual pada Ahad, 26 Mac dan Isnin, 27 Mac 2023 di Lapangan Terbang Munich akibat mogok," menurut pihak berkuasa lapangan terbang dalam satu kenyataan.

Penumpang yang telah membuat tempahan pada hari berkenaan diminta menghubungi syarikat penerbangan atau operator pelancongan mereka.

Kesatuan sekerja Jerman pada Khamis melancarkan mogok di seluruh negara ekoran pertikaian mengenai gaji dan persekitaran kerja.

Lapangan Terbang Frankfurt, antara hab antarabangsa utama juga mengumumkan bahawa mogok itu dijangka menyebabkan gangguan besar pada Isnin.

"Operasi di Lapangan Terbang Frankfurt akan terganggu sepanjang hari pada 27 Mac.

"Penumpang dinasihatkan supaya mengelak daripada pergi ke lapangan terbang,” menurut pengendali itu dalam satu kenyataan.

Kesatuan itu mewakili kira-kira 2.5 juta pekerja sektor awam, menuntut kenaikan gaji 10.5 peratus dan tidak kurang daripada €500 (AS$540) di tengah-tengah inflasi yang melambung tinggi dan krisis kos sara hidup.

Rundingan pusingan baharu dijangka bermula minggu depan. - Bernama