Warga emas 82 tahun cedera parah, rumah dirempuh MPV

Keadaan kediaman warga emas yang dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di kilometer (KM) 40 Jalan Peradong menghala Pekan Kuala Klawang di sini pada tengah hari Jumaat. - Foto PDRM

A
A
A

JELEBU - Seorang wanita warga emas patah tulang pinggul selepas kediamannya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di kilometer (KM) 40 Jalan Peradong menghala Pekan Kuala Klawang di sini pada tengah hari Jumaat.

Ketua Polis daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, mangsa berusia 82 tahun itu masih tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di Hospital Jelebu.

"Kejadian jam 12.58 tengah hari itu membabitkan sebuah MPV dipandu seorang guru dari arah Serting Ulu menghala ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Undang Syed Ali Al-Jufri, Jelebu.

"Siasatan awal mendapati semasa kenderaan itu melalui Jalan KM40 Kampung Peradong telah terbabas masuk ke bahu jalan sebelah kanan dan melanggar sebuah rumah di bahu jalan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

MPV berkenaan terbabas masuk ke bahu jalan sebelah kanan dan melanggar sebuah rumah di bahu jalan berkenaan. - Foto PDRM
MPV berkenaan terbabas masuk ke bahu jalan sebelah kanan dan melanggar sebuah rumah di bahu jalan berkenaan. - Foto PDRM

Ujarnya, akibat daripada kemalangan itu, mangsa yang berada dalam rumah telah mengalami kecederaan parah di bahagian pinggul dan tidak sedarkan diri. Dia seterusnya dibawa ke Hospital Jelebu untuk rawatan lanjut.

"Pemandu MPV pula mengalami lebam di bahagian dada dan paha kiri. Punca kemalangan dipercayai akibat pemandu MPV yang hilang kawalan semasa memandu.

"Bagaimanapun punca sebenar masih dalam siasatan polis. Kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.