Harimau Muda tempah tiket final Piala Merlion

Najmuddin (kiri) meraikan jaringannya di Stadium Jalan Besar sebentar tadi. Foto: FB FAM
Najmuddin (kiri) meraikan jaringannya di Stadium Jalan Besar sebentar tadi. Foto: FB FAM
A
A
A

SKUAD bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) negara menempah tiket final Piala Merlion 2023 selepas melakar kemenangan 4-2 ke atas Kemboja di Stadium Jalan Besar, Singapura sebentar tadi.

Barisan kendalian E Elavarasan itu tampil garang sebaik wisel permulaan dibunyikan apabila membuka tirai jaringan menerusi penyerang KL City FC, Haqimi Azim pada minit ke-13.

Jaringan itu ternyata membakar semangat Harimau Muda bagi menambah jaringan sebelum gol kedua terhasil menerusi pertahanan kiri Selangor FC, V Ruventhiran pada minit ke-30.

Berselang enam minit kemudian, gawang skuad negara bocor apabila Lim Pisoth berjaya meledak gol akibat kesilapan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

Baru lima minit aksi babak kedua bersambung, Kemboja yang dibimbing Ryu Hirose menyamakan kedudukan menerusi rembatan kaki kiri Sieng Chanthea.

Tersentak dengan jaringan penyamaan Kemboja, Elavarasan membuat beberapa pertukaran pemain termasuk memasukkan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Fergus Tierney.

Tierney tidak menunggu lama untuk mencipta impak apabila menyumbat gol ketiga pada minit ke-62 sebelum Najmuddin Akmal memastikan kemenangan bergaya skuad negara dengan gol keempat pada minit ke-73.

Kemenangan itu melayakkan Malaysia ke pentas final Piala Merlion 2023 yang melibatkan empat pasukan B-22 selain tuan rumah, Singapura dan Hong Kong.