Prestasi Aaron-Wooi Yik cetus tanda tanya

Aaron (kanan) dan Wooi Yik gagal beraksi cemerlang pada tiga kejohanan di Eropah bulan ini.
Aaron (kanan) dan Wooi Yik gagal beraksi cemerlang pada tiga kejohanan di Eropah bulan ini.
A
A
A

PRESTASI tidak menentu beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencetuskan tanda tanya apabila tumbang dalam pusingan awal tiga kejohanan di Eropah.

Situasi itu ternyata meresahkan peminat badminton negara yang mengharapkan juara dunia itu segera bangkit pada kejohanan akan datang.

Pada Khamis, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking kedua dunia tersingkir pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di Basel.

Tampil selaku pilihan utama kejohanan, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur tewas 21-17, 16-21, 17-21 kepada gandingan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito.

“Saya tidak mahu komen banyak sebab cakap apa pun selepas kalah ia seperti beri alasan. Bila kalah cakap apa pun jadi salah.

“Apa yang saya dan Wooi Yik perlu buat ialah berlatih lagi. Kemudian bangkit dan menang dulu,” ujar Aaron kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Aaron-Wooi Yik memulakan misi mereka di Eropah dengan langkah kiri apabila gagal mara ke suku akhir Terbuka Jerman di Mulheim dua minggu lalu.

Mereka tewas 13-21, 18-21 kepada Koga-Sato yang juga gandingan nombor 25 dunia pada pusingan kedua kejohanan berstatus Super 300 itu.

Nasib malang terus menimpa Aaron-Wooi Yik apabila terpaksa meninggalkan bumi Birmingham lebih awal apabila tersingkir seawal pusingan pertama Seluruh England minggu lalu.

Aaron-Wooi Yik yang masih belum meraih sebarang kejuaraan tahun ini tumpas 18-21, 21-14, 13-21 kepada wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.