Saiz juadah Menu Rahmah, tapi harga tetap kayangan!

Orang ramai mengunjungi Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya bagi membeli juadah berbuka puasa hari pertama umat Islam menyambut ibadah puasa. - Foto Bernama
Orang ramai mengunjungi Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya bagi membeli juadah berbuka puasa hari pertama umat Islam menyambut ibadah puasa. - Foto Bernama
A
A
A

SEMALAM Merak sempat tinjau-tinjau di beberapa bazar Ramadan sekitar Shah Alam. Suasana nampak meriah walaupun dalam keadaan kos sara hidup yang makin hari makin tinggi.

Umat Islam dan pengunjung bukan beragama Islam berpusu-pusu membeli juadah serta lauk-pauk. Apa yang Merak Jalanan perasan, kebanyakan juadah di bazar Ramadan sudah jadi macam menu Rahmah - daripada segi saiz dan kuantitinya tapi harga tetap kayangan!

Merak Jalanan fahamlah sekarang ini harga barang-barang mentah naik tak pernah turun, tapi janganlah terlampau nak kejar keuntungan semata-mata tanpa fikirkan sedikit pun amal jariah. Ada sesetengah harga kuih dan lauk pauknya naik melampau tapi saiz serta kuantiti makin kecil atau sikit.

Merak Jalanan perhatikan juga ada segelintir pengunjung di bazar Ramadan, bila nak beli juadah dan selepas bertanyakan harga, terus batalkan niat nak beli.

Ada juga Merak Jalanan dengar beberapa orang yang mengomel sesama sendiri cakap harga juadah mahal sangat dan tak padan dengan saiz.

Cubalah imbangi faktor kenaikan barang mentah, harga juadah dengan selitkan sedikit amal jariah ketika berniaga. Memang betul kalau orang berniaga tak ikut sangat harga semasa, mereka tak untung banyak. Tapi sebagai orang Islam, kita akan dapat ganjaran lagi besar di akhirat nanti.

Itu belum lagi bercakap pasal kualiti dan kesedapan makanan yang dijual. Sudahlah harga kayangan, rasanya pula tak layak untuk dijual di bazar. Tak sedap langsung! Merak Jalanan ada beli karipap sebab nampak macam sedap, kembung elok saja. Tapi bila balik rumah masa nak berbuka rupa-rupanya depa jual ‘karipap oksigen’ penuh dengan angin, manakala intinya ciput saja.

Betullah status yang dipetik daripada seorang pengguna Twitter: “Puasa dah dekat ni. Bukan nak menghina, cuma nak bagi tahu. Kalau masak tak sedap janganlah berniaga di bazar Ramadan. Berniagalah baju raya atau mercun saja. Kesian orang yang puasa rasa tertipu!”