5,000 anak yatim, asnaf terima baju raya di Perak

Salbiah menyantuni anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Aitam Temoh ketika Pra-Program Sentuhan Mesra Gerakan Koperasi dan Tautan Kasih Ramadan anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak di sebuah gedung tekstil terkemuka di sini pada Khamis.
Salbiah menyantuni anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Aitam Temoh ketika Pra-Program Sentuhan Mesra Gerakan Koperasi dan Tautan Kasih Ramadan anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak di sebuah gedung tekstil terkemuka di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan menyediakan pakaian hari raya kepada kira-kira 5,000 penerima terpilih dalam kalangan anak yatim dan golongan asnaf yang kurang berkemampuan pada tahun ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed berkata, program yang dinamakan Meriah Raya Sejahtera Bersama itu akan berlangsung di seluruh Perak itu melibatkan hampir ke semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, jumlah penerima sumbangan mengambil kira keperluan mengikut kesesuaian sesuatu lokasi dan Sekretariat Pembangunan Wanita Perak akan menguruskan program berkenaan.

"Mungkin ada sesuatu tempat memilih rumah anak yatim terus, mungkin satu-satu tempat mengambil anak-anak yatim bukan di rumah anak yatim. Kadangkala kita terlepas pandang, kita suka menyalurkan bantuan kepada rumah anak yatim yang memang mereka ada geran dan sebagainya yang terpinggir ini adalah anak-anak yatim atau yatim piatu yang tinggal di luar daripada institusi.

"Ramai sebenarnya, bukan sahaja yang kehilangan ibu ataupun ayah kedua-duanya pun mungkin tinggal dengan saudara ataupun neneknya. Itu yang menjadi sasaran kita untuk membantu nanti," katanya kepada pemberita ketika ditemui ketika Pra-Program Sentuhan Mesra Gerakan Koperasi dan Tautan Kasih Ramadan anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak di sebuah gedung tekstil terkemuka di sini pada Khamis.

Menurutnya, usaha mengenal pasti mereka yang layak menerima sumbangan tersebut akan dibantu pemimpin setempat termasuk agensi-agensi berkaitan.

Dalam perkembangan lain, Salbiah berkata, jumlah penglibatan usahawan yang menjalankan perniagaan sempena bulan puasa dilihat bertambah berdasarkan kewujudan beberapa tapak bazar Ramadan baharu pada tahun ini.

Beliau turut menasihati golongan peniaga untuk menawarkan harga jualan berpatutan terhadap menu atau produk-produk yang dijual di bazar-bazar Ramadan.

"Apa juga keadaannya, memang kita meniaga fokus kepada keuntungan tetapi kita mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini untuk kita sama-sama mengambil peluang dapatkan pahala.

"Jadi saya kira sebenarnya ramai usahawan-usahawan, peniaga-peniaga yang telah pun mengambil inisiatif itu untuk cuba menawarkan harga berpatutan," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengalu-alukan mana-mana usahawan yang baru memulakan perniagaan untuk memohon Geran Usahawan Perak yang disediakan kerajaan negeri.

Katanya, mereka yang layak akan menerima bantuan peralatan bernilai RM2,000 hingga RM3,000 dan tarikh tutup permohonan sehingga 25 Mac ini.