Pelajar cederakan diri didakwa tertekan dimalukan guru

Gunasekaran melihat kecederaan pada tangan remaja berkenaan.
Gunasekaran melihat kecederaan pada tangan remaja berkenaan.
A
A
A

JEMPOL - Seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah di Bahau di sini mendakwa mencederakan dirinya di bahagian leher dan lengan kerana tertekan dimalukan gurunya pada Selasa.

Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran selepas menemui pelajar berusia 16 tahun itu di sini pada Rabu.

Katanya, kejadian itu disedari oleh rakan sekelas mangsa yang menjumpainya dalam keadaan berlumuran darah di kawasan sekolah.

"Mangsa kemudian telah dihantar dengan ambulans ke sebuah klinik di Bandar Seri Jempol untuk mendapatkan rawatan.

"Dia telah menerima 22 jahitan akibat kesan kelar pada leher dan lengan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, pelajar itu mendakwa dua guru di sekolah berkenaan mengesyakinya melakukan sesuatu tidak sepatutnya terhadap seorang pelajar perempuan.

Malah katanya, pelajar tersebut turut diminta membuat surat pengakuan berkenaan kejadian itu walaupun perkara itu dinafikan olehnya.

"Bagaimanapun disebabkan tertekan dan berasa malu, dia bertindak mencederakan diri menggunakan serpihan cermin tingkap.

"Berikutan itu, satu laporan polis dibuat pelajar tersebut di Balai Polis Bandar Seri Jempol hari ini (Rabu) dengan ditemani keluarganya," katanya.

Sementara itu Gunasekaran berkata, apa sahaja yang berlaku di sekolah sewajarnya ditangani sebaiknya sama ada daripada pihak sekolah dan ibu bapa bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

"Dia (pelajar) masih muda malah tindakannya yang mencederakan diri dikhuatiri boleh membawa maut.

"Justeru, saya harap perkara ini dapat diselesaikan mengikut lunas yang sewajarnya oleh pihak bertanggungjawab sama ada polis dan Jabatan Pendidikan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook mengesahkan menerima laporan polis tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.