Umat Islam di Malaysia mula puasa esok

Foto: AWANI
Foto: AWANI
A
A
A

SHAH ALAM - Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok, 23 Mac.

Tarikh permulaan puasa bagi negeri di seluruh Malaysia itu ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong selepas diperkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman ringkas berkenaan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada hari ini, 22 Mac bersamaan 29 Shaaban 1444 Hijrah.

Jawatankuasa berkenaan melihat anak bulan Ramadan di 29 lokasi di seluruh negara, antaranya Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.

Selain itu, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan serta Bukit Melawati, Kuala Selangor.

Majlis Raja-Raja juga mempersetujui cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Kaedah berkenaan digunakan bagi menentukan kebolehnampakan anak bulan, menerusi posisi matahari dan bulan ketika matahari Ghurub berada di Altitud bulanmelebihi 3° dan jarak lengkung bulan dan matahari melebihi 6.4°.

Menerusi hisab yang dilakukan oleh Yang Dipertua Persatuan Falak Syar'i Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer menyatakan, analisis kedudukan hilal bagi menentukan awal bulan Ramadan 1444H berada di titik rujukan dari Pulau Perak iaitu 5°41'3''U, 98°56'20''T.