Sektor swasta perlu main peranan besar lonjak sukan negara

Hannah (empat dari kanan) bersama atlet cilik, wakil Pioneer Sports dan Daikin pada kejohanan badminton antarabangsa Daikin di Kota Damansara baru-baru ini. Foto Pioneer Sports.
Hannah (empat dari kanan) bersama atlet cilik, wakil Pioneer Sports dan Daikin pada kejohanan badminton antarabangsa Daikin di Kota Damansara baru-baru ini. Foto Pioneer Sports.
A
A
A

PIONEER Sports Management (M) Sdn Bhd, pakar acara badminton terkenal menggesa sektor swasta supaya proaktif dalam menerajui lebih banyak acara dan kejohanan peringkat akar umbi untuk melonjakkan industri sukan negara ke pentas antarabangsa.

Pengarahnya, Chan Chong Ming berkata, kejohanan sukan akar umbi yang diterajui oleh sektor swasta dapat membantu mengenal pasti dan memupuk bakat muda yang berpotensi untuk menyerlahkan keupayaan Malaysia dalam melahirkan juara.

Katanya, ia bukan sahaja melibatkan badminton tetapi pelbagai jenis sukan yang lain.

“Kami di Pioneer Sports sentiasa percaya pembangunan sukan negara bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Tidak kira apa industri mereka, sektor swasta harus bekerjasama dengan komuniti sukan tempatan dan Kementerian untuk menerajui acara sukan yang menarik minat mereka.”

Saranan itu selaras dengan gesaan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa penglibatan sektor swasta adalah penting kerana pembiayaan kerajaan sahaja tidak mencukupi untuk pembangunan sukan di Malaysia.

Chong Ming berkata, kejohanan tersebut tidak seharusnya terhad kepada peringkat negeri atau seluruh negara, sebaliknya boleh diperluas menjadi acara antarabangsa.

"Peserta dari luar negara dialu-alukan untuk menyertai kejohanan tersebut. Ini dapat menyediakan bakat muda dengan platform bagi mengasah kemahiran dan daya tahan mereka," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa sektor swasta boleh menganggap penglibatan mereka dalam sukan sebagai tanggungjawab sosial di samping menggiatkan semula industri tersebut dengan pelbagai kejohanan yang boleh disertai oleh atlet khususnya atlet muda.

Katanya, usaha dalam menerajui kejohanan badminton peringkat akar umbi bagi memupuk bakat-bakat muda perlu dipuji.

"Kami berharap ini akan mendorong lebih banyak syarikat swasta untuk memainkan peranan dalam pembangunan sukan negara,” katanya.

Pioneer Sports diterajui oleh bekas pemain negara, termasuk Wong Choong Hann, pengarah kejurulatihan semasa untuk pasukan badminton kebangsaan; Chew Choon Eng; Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming yang sentiasa aktif dalam mencungkil bakat muda yang berpotensi tinggi.

Kejohanan empat hari yang berlangsung di Petaling Jaya itu telah menarik lebih 1,500 peserta dari pelbagai negeri dan semua lapisan masyarakat.

Terdapat enam kategori dipertandingkan dengan kumpulan umur yang berbeza.

Kategori itu termasuk perseorangan lelaki dan perempuan, beregu lelaki, beregu perempuan, beregu campuran serta ibu bapa dan anak.