Guru lelaki maut dalam perjalanan ke sekolah

Kereta Perodua Myvi dipandu mangsa terbabas dan melanggar tembok Klinik Kesihatan Sri Tanjung, Melaka pada Rabu. (Gambar kecil: Mun Hock)
Kereta Perodua Myvi dipandu mangsa terbabas dan melanggar tembok Klinik Kesihatan Sri Tanjung, Melaka pada Rabu. (Gambar kecil: Mun Hock)
A
A
A

MELAKA - Seorang guru lelaki yang sedang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar tembok Klinik Kesihatan Sri Tanjung di sini pada Rabu.

Dalam kejadian lebih kurang jam 8 pagi, mangsa Goh Mun Hock, 59, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung dalam perjalanan dari arah bandar Melaka menghala ke Kem Terendak, Sungai Udang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu mangsa telah hilang kawalan ketika tiba di lokasi sebelum terbabas ke arah kiri jalan dan melanggar tembok Klinik Kesihatan Seri Tanjung.

"Impak kemalangan itu mangsa yang terbabas sendiri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka dan POL61 telah dikeluarkan bagi melakukan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.