Ramadan: Kantin sekolah wajar dibuka - Fadhlina

Fadhlina (lima dari kiri) menyantuni murid-murid berkeperluan pendidikan khas pada Majlis Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah Yayasan Petronas 2023 di Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (L) Jalan Raja Laut pada Rabu. - Foto Bernama
Fadhlina (lima dari kiri) menyantuni murid-murid berkeperluan pendidikan khas pada Majlis Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah Yayasan Petronas 2023 di Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (L) Jalan Raja Laut pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengusaha kantin sekolah disaran untuk terus beroperasi sepanjang Ramadan walaupun mempunyai kurang daripada 10 peratus murid bukan Islam, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, hal ini kerana bukan semua murid beragama Islam berpuasa terutamanya yang masih kecil, selain menyantuni murid yang bukan beragama Islam.

"Ini ialah Kerajaan MADANI, kerajaan inklusif... kedua-dua pihak saling menghormati, yang berpuasa kena santuni yang tidak berpuasa, yang tidak berpuasa perlu belajar menghormati mereka yang berpuasa.

"Kita tidak mahu ada senario (murid) makan di dalam stor atau di tepi longkang, saya tidak mahu situasi seperti itu (berlaku).

"Saya pasti ada kanak-kanak Muslim yang tidak berpuasa di awal umur yang tiada kewajipan untuk mereka berpuasa melainkan mereka ingin belajar berpuasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah Yayasan Petronas 2023 di Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (L) di sini pada Rabu.

Fadhlina berkata, pengusaha kantin juga perlu berbincang dengan pihak sekolah berhubung perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang saranan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) untuk tidak membuka kantin pada Ramadan jika ada sekolah yang mempunyai bilangan pelajar bukan Islam tidak ramai iaitu kurang 10 peratus.

Semalam, Setiausaha Agung PPKSM, Siti Normah Md Desa berkata, sekiranya kantin dibuka, pengusaha perlu menangung kos pengoperasian yang tidak boleh ditampung oleh nilai jualan yang diperoleh.

Sementara itu, Fadhlina berkata, pihaknya menyambut baik pandangan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sindrom Down (PPDKSD) dalam menambah baik silibus pembelajaran untuk kanak-kanak sindrom Down bagi persiapan mereka ke alam pekerjaan.

"Kami mempunyai sesi libat urus yang sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa, untuk memastikan kurikulum setara dengan keperluan kanak-kanak (sindrom Down), selain mengambil kira kitaran ansur maju.

"Kami ada kepakaran dalam KPM (Kementerian Pendidikan) untuk soal mengubah kurikulum itu dan sesi libat urus akan berterusan dengan mengambil kira input-input daripada semua (pihak)," katanya.

Pada majlis itu, seramai 30 murid kurang upaya menjadi penerima awal sumbangan pek 'Kembali Ke Sekolah' oleh Yayasan Petronas yang mengandungi baucar satu set pakaian sekolah, kasut, stoking dan baju sukan, selain kit peralatan seperti beg sekolah, set alat tulis, pensel warna dan kalkulator saintifik.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Shariah Nelly Francis berkata, sebanyak 21,000 murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara akan menerima sumbangan itu bermula pada pertengahan Mac hingga Mei.

"Sejak dilancarkan 10 tahun lepas, Yayasan Petronas melalui program ini terus komited dengan matlamatnya meringankan beban golongan berpendapatan rendah dan prihatin dengan situasi mereka dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

"Dalam membantu golongan keluarga kurang berkemampuan mengatasi rintangan yang dihadapi, kami berharap lebih ramai pelajar akan menyesuaikan diri untuk kembali ke sekolah semula dan terus kekal di sekolah sehingga mereka tamat pembelajaran," katanya. - Bernama