LBS sedia jalin lebih banyak kerjasama dengan kerajaan Selangor

Hock San
Hock San
A
A
A

SYARIKAT pemaju perumahan, LBS Bina Group Berhad (LBS) bersedia untuk menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan kerajaan Selangor dalam menyediakan rumah untuk semua kelompok pendapatan.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, sebelum ini pihaknya telah bekerjasama dengan kerajaan Selangor untuk membina 7,210 unit Rumah Idaman MBI di seluruh negeri berkenaan.

“Projek itu telah dilancarkan pada Oktober 2022 dan dijangka siap dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi.

“Sekiranya diberi peluang sekali lagi sudah tentu LBS bersedia untuk memberi komitmen penuh dalam membina lebih banyak lagi projek perumahan mampu milik untuk penduduk Selangor,” katanya ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia di Hotel Eastin pada Selasa.

Menerangkan tentang pelancaran rumah satu tingkat di Cybersouth, Dengkil, Selangor, Hock San yang juga Presiden Pesekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia berkata, pembinaaan projek perumahan itu dibina kerana menerima permintaan tinggi.

Majlis Ramah Mesra Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien turut dihadiri Amirudin (empat dari kanan) pada Selasa.
Majlis Ramah Mesra Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien turut dihadiri Amirudin (empat dari kanan) pada Selasa.

Tambah beliau, walaupun projek perumahan berkenaan tidak memberi pulangan keuntungan besar seperti projek rumah dua tingkat tetapi pihaknya memgambil pendekatan memenuhi keinginan orang ramai untuk memiliki rumah.

“Pihak kami mengambil keputusan untuk menyediakan rumah mampu milik dengan harga kurang daripada RM500,000. Kami bersyukur, setelah majlis pelancaran projek itu dibuat, boleh dikatakan hampir 90 peratus unit telah pun terjual,” jelasnya.

Tambahnya lagi, syarikat itu bukan sahaja membina rumah satu tingkat di Cybersouth tetapi turut membangunkan kediaman di Batu Pahat, Johor dengan harga kurang daripada RM400,000.

Majlis Ramah Mesra Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Persekutuan Persatuan - Persatuan Hokkien Malaysia mempunyai dua ratus dua puluh tiga (223) cawangan Persatuan Hokkien di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak
Persekutuan Persatuan - Persatuan Hokkien Malaysia mempunyai dua ratus dua puluh tiga (223) cawangan Persatuan Hokkien di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak

Menerusi ucapan perasmian itu, Hock San berharap agar kerajaan Selangor mengalu-alukan lebih banyak peluang pelaburan luar negara seperti China.

Jelas beliau, pihaknya sentiasa menyokong dasar-dasar kerajaan yang baik demi kelangsungan pembangunan negeri dan negara.